Wednesday, August 22, 2012

Jom tanam jagung

Seorang petani telah memenangi Anugerah Petani Cemerlang untuk sekian kalinya, selama lima tahun berturut-turut.

Anugerah itu hasil tanaman jagungnya yang membuahkan hasil yang begitu baik. Jagungnya berkualiti; lebih besar, warnanya keemasan,rasanya manis dan tahan lama untuk disimpan.

Seorang wartawan menemui petani tersebut untuk menemuramahnya.

"Apakah rahsia kejayaan tuan sehingga memenangi anugerah ini selama lima tahun berturut-turut?"

"Tidak ada rahsia sebenarnya. Saya cuma berkongsi benih jagung yang saya ada dengan petani-petani lain. Itu sahaja," terang petani itu jujur.

"Berkongsi benih dengan petani lain? Bukankah mereka juga masuk pertandingan yang sama? Petani lain sepatutnya menjadi pesaing kerana mereka juga menanam jagung dengan benih yang sama."

"Betul. Tetapi itu semua tidak penting. Yang penting ialah proses pendebungaan. Kalau pokok jagung di sekitar ini tidak ditanam dengan benih yang berkualiti, maka ladang saya pun akan terjejas.

"Boleh jadi saya menanam jagung menggunakan benih yang berkualiti, namun proses pendebungaan yang mungkin bercampur dengan ladang berdekatan akan memberi kesan kepada hasil tanaman saya."

Pengajaran: Orang yang berjaya ialah orang yang berkongsi manfaat dengan orang lain dan membantu mereka memperolehnya.

No comments: