Thursday, August 23, 2012

Kerbau dan Keldai

Di sebuah ladang, terdapat seekor kerbau dan seekor keldai yang membantu petani mengerjakan kebun sayur. Mereka berdua bekerja keras saban hari di bawah terik matahari, enam hari seminggu.

Si kerbau yang kepenatan mencadangkan sesuatu kepada si keldai: "Apa kata esok kita berpura-pura sakit? Bolehlah kita berehat."

"Eh, mana boleh! Engkau tak nampak, masih banyak lagi kerja kita yang belum selesai?"

"Alah, berehat sehari pun cukuplah."

"Terpulanglah pada engkau. Aku akan bekerja seperti biasa."

Keesokan harinya, si keldai bekerja sendirian. Melihat si kerbau lemah tidak bermaya, pemiliknya memberikannya lebih rumput segar untuk diragut.

Sebaik sahaja melihat keldai balik dari ladang, si kerbau bertanya: "Bagaimana hari ini? Penat?"

"Mestilah penat. Aku bekerja seorang diri hari ni."

"Banyak kerja yang engkau dapat siapkan?"

"Sedikit saja. Aku bukannya gagah perkasa macam engkau."

"Tuan ada cakap apa-apa pasal aku?"

"Tak ada."

Keesokan harinya, si kerbau curi tulang lagi. Alasannya sama, kurang sihat. Sebaik melihat keldai pulang, si kerbau bertanya: "Engkau okay? Bagaimana kerja kau hari ini?"

"Aku penatlah. Sedikit saja kerja yang aku boleh siapkan."

"Tuan ada cakap apa-apa pasal aku?"

"Tak ada. Tapi aku ada dengar tuan berbincang sesuatu dengan tukang sembelih tadi."

Gulp! Si kerbau mengelabah.

Pengajaran: Sikap terlalu kerap memberi alasan agar dapat melepaskan diri daripada sebarang tugasan hanya akan memudaratkan diri sendiri.

No comments: