Monday, August 20, 2012

Menolak tuah

Sebaik selesai majlis konvokesyen, Nazim dipanggil oleh ayahnya ke bilik bacaan. Nazim dapat mengagak sesuatu. Pasti ayahnya ingin memberikan kunci kereta sebagaimana yang dijanjikan.

Tambahan pula, ayahnya seorang jutawan terkemuka yang mampu membeli apa-apa jua yang dihajatinya. Hatinya berbunga-bunga.

"Tahniah, anak ayah sudah mendapat segulung ijazah," kata ayahnya sambil menghulurkan senaskah al-Quran.

"Al-Quran? Bukankah ayah sudah berjanji akan hadiahkan Nazim kereta sport? Kalau setakat al-Quran, di bilik Nazim pun sudah ada," bantahnya.

Kecewa dengan sikap ayahnya, Nazim mengambil keputusan keluar dari rumah, membawa haluan sendiri.

Lima tahun berlalu, Nazim sudah mempunyai kerjaya yang stabil, isteri rupawan, seorang anak yang comel dan rumah kediaman mewah.

Suatu hari, Nazim dihubungi oleh seorang peguam. Rupa-rupanya ayahnya baru saja meninggal dunia dan semua harta telah bertukar milik kepada anak tunggalnya itu. Nazim kini mewarisi semua aset kekayaan ayahnya.

Rasa bersalah menjengah hatinya. Nizam mengambil keputusan untuk pulang. Sampai sahaja di villa ayahnya, Nizam terus menuju ke bilik bacaan di mana tempat terakhir dia bersama Allahyarham.

Al-Quran yang dihadiahkan oleh si ayah dahulu masih berada di atas meja. Nizam semakin sebak dan sayu. Dibeleknya al-Quran itu.

Tiba-tiba ada sesuatu terjatuh dari celah lembaran al-Quran itu.

"Ya Allah!" Nizam terduduk. Digenggamnya erat kunci kereta sport hadiah ayahnya.

Pengajaran: Kita seringkali menolak rahmat dan keberkatan kerana ia tidak selalunya dipersembahkan dalam seindah-indah rupa. Benarlah, sesuatu yang manis itu kadangkala dibalut dengan kepahitan, sesuatu yang indah pulak dibalut dengan kesusahan.

No comments: