Tuesday, August 7, 2012

Wangian Syurga

Akhir Zaman - point penting yang diambik bulat2 (tidak ada ubah walau sedikit faktanya) dari majalah SOLUSI Isu No. 40...artikal berada di muka surat 110 hasil tulisan Umar M. Noor dengan niat ingin berkongsi ilmu sesama kita.


Seorang perindu syurga sering teringatkan syurga setiap kali menghidu wangian di muka bumi ini. Setiap kali mencium sekuntum bunga, atau mendapati minyak wangi yang harum baunya, hatinya segera beralih kepada syurga yang dirinduinya.

Anas bin Malik bercerita tentang bapa saudaranya yang bernama Anas bin al-Nadr. Beliau sangat menyesal kerana tidak menghadiri perang Badar bersama-sama Nabi s.a.w. Beliau berkata: "Jika Allah memberikan aku kesempatan menghadiri peperangan bersama Nabi s.a.w., aku akan memperlihatkan kesungguhanku."

Ketika perang Uhud, bapa saudara Anas bin Malik ini hadir bersama-sama pasukan Islam. Beliau menyaksikan kekalahan pasukan Islam dalam serangan kafir Quraisy. Mereka lari menyelamatkan diri daripada serangan musuh.

Melihat keadaan ini, Anas bin al-Nadr berkata: "Ya Allah, aku melihat uzur bagi orang ini (yakni kaum Muslimin). Dan aku berlepas daripada apa-apa yang dilakukan oleh Musyrikin."

Dengan penuh keberanian, beliau maju ke arah musuh sambil menghunuskan pedangnya. Apabila berjumpa dengan Sa'ad bin Mu'az, beliau berkata: "Ke mana engkau hendak pergi wahai Sa'ad? Sesungguhnya aku dapat menghidu wangian syurga dari arah Uhud!"

Anas bin al-Nadr setelah itu menyerbu ke arah musuh dan terus bertempur sehingga akhirnya menemui syahid.

Selesai pertempuran, tidak ada sesiapa yang mengenali jasad beliau kerana luka-luka tusukan pedang dan panah yang memenuhi tubuhnya. Hanya saudara perempuannya sahaja yang dapat mengenali beliau menerusi salah satu jari-jarinya.

Anas bin Malik berkata bahawa luka-luka yang terdapat pada tubuh bapa saudaranya itu melebihi 80 luka, yakni luka akibat tetakan pedang dan tusukan anak panah.

Kisah ini diriwayatkan oleh al-Bukhari, Muslim dan al-Tirmizi.

Wangian Syurga

Hadis ini dan beberapa buah hadis yang lain menunjukkan bahawa syurga memiliki wangian yang sangat wangi. Manakan tidak, komposisi tanah syurga itu sendiri terdiri daripada kesturi dan za'faran. Belum lagi termasuk perpohonan, bunga-bunga dan juga sungai-sungainya.

Imam al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Abu Zar dalam kisah Israk dan Mikraj yang cukup panjang, bahawa Rasulullah s.a.w. bercerita, maksudnya: "Aku lalu dimasukkan ke dalam syurga. Aku melihat kubah-kubah dibina daripada permata dan tanah syurga adalah kesturi."

Dengan izin Allah, angin syurga berhembus membawa wangian ini kepada orang yang Allah kehendaki.

Subhanallah! Syurga sungguh luar biasa. Kenikmatannya yang terdapat di dalamnya memanjakan semua pandaindera manusia yang ditakdirkan menjadi ahlinya. Selain indah dipandang, ia juga berbau harum. Wangian syurga ini juga menjadi salah satu daripada bentuk-bentuk kenikmatan syurga. Bahkan, menurut Ibn Abi Jamrah, wangian ini adalah antara kenikmatan syurga yang paling besar.

No comments: