Thursday, August 9, 2012

Wangian Syurga

...bersambung dari entry ini


Syuhada

Semerbak wangian syurga ini bukan hanya boleh dihidu oleh orang yang berada di dalamnya sahaja. Malah, wangian syurga dapat dihidu dari jarak yang sangat jauh. Orang yang ditetapkan sebagai ahlinya dapat mencium bau wangi syurga sebelum mereka masuk ke dalamnya lagi.

Pelbagai hadis menyebutkan bahawa wangian ini boleh didapati dalam jarak perjalanan 40 tahun, 70 tahun bahkan ada juga yang mengatakan 500 tahun.

Berkata Ibn al-Arabi: "Bau wangi syurga bukan didapati menerusi pancaindera biologi atau kebiasaan. Akan tetapi, wangian ini hanya dapat dihidu menerusi pancaindera khas yang Allah ciptakan. Kadangkala wangian itu dapat dihidu oleh orang yang Allah kehendaki dari jarak 70 tahun, terkadang juga dari jarak 500 tahun." Ucapan ini dinukilkan oleh Ibn Hajar dalam Fath al-Bari.

Ibn Hajar lalu menambah: "Sesiapa yang mendapati wangian syurga dari jarak yang lebih jauh, itu petanda bahawa darjatnya lebih tinggi."

Mungkin itulah sebabnya para syuhada seperti Anas bin al-Nadr dapat menghidu bau wangi syurga sejak di dunia lagi kerana darjat syuhada sangat tinggi di sisi Allah s.w.t. Mereka juga sangat merindukan syurga. Maka tidak mustahil mereka dapat menghidu wangian syurga sesaat sebelum kematian sebagai penghormatan bagi mereka.

Berkata al-Hafiz Ibn Hajar bagi menjelaskan bahawa Anas bin al-Nadr ini: "Kerana kerinduannya kepada syurga, seolah-olah beliau memiliki kemampuan yang memungkinkan dirinya dapat menghidu wangian syurga ketika masih di dunia."

Muqarrabin

Kelebihan ini terbuka kepada hamba-hamba Allah lain yang sangat merindukan syurga selain para syuhada. Mereka adalah muqarrabin (orang yang sangat dekat dengan Allah s.w.t.).

Allah s.w.t. berfirman, mafhumnya: "Adapun jika dia termasuk dalam golongan al-muqarrabin, maka dia memperoleh kerehatan, wangian dari syurga yang penuh kenikmatan." (Surah al-Waqi'ah 56: 88-89).

Sebahagian ulama mentafsirkan kalimat raihan dalam ayat ini dengan maksud "rezeki". Sebahagian yang lain mentafsirkannya sesuai dengan makna asalnya, yakni "bunga-bungaan". Maknanya, seorang muqarrabin akan diberikan bunga-bunga syurga yang sangat harum apabila mereka sedang nazak.

Berkata Abu al-'Aliyah: "Tidaklah dicabut nyawa seorang muqarrabin, melainkan didatangkan baginya sekuntum bunga dari syurga. Beliau lalu menciumnya dan pada saat itu, nyawanya dicabut."

Ucapan yang hampir sama diriwayatkan daripada Abu Hassan al-Basri, 'Imran al-Juni, al-Nakha'i dan lain-lain sebagaimana diriwayatkan oleh al-Suyuti dalam Tafsir al-Durur al-Manthur.

2 comments:

Prettywrite said...

tak terbayang harumnya syurga..

Ann Ishak said...

Prettywriter - takpe apa yang dapat menandinginya pun