Sunday, December 1, 2013

Allah sentiasa membantu

Bab 06 - info yang diambik bulat2 (tidak ada ubah walau sedikit faktanya) dari buku MUDAHNYA MENJEMPUT REZEKI tulisan dari Saudara Fathuri Salehuddin...info ini berada di muka surat 28-31 dengan niat ingin berkongsi ilmu sesama kita.

Maulana Jalaluddin ar-Rumi, seorang ahli sufi menyatakan maut diiringi dengan hidup yang lebih bernilai dan bermakna, sebagaimana bunga yang gugur diiringi buah yang masak enak. Beliau bermadah:

Tatkala bunga gugur, maka buah pun subur. Apabila badan lebur, nescaya roh pun berkembang segar.

Kesenangan yang kita nikmati juga bukanlah kesenangan yang hakiki. Seumur hidup kita di dunia ini kita sebenarnya diuji. Hal ini dinyatakan dengan jelas oleh Allah:

Ketahuilah, sesungguhnya kehidupan di dunia ini, hanyalah permainan dan senda gurauan, perhiasan dan saling berbangga antara kamu serta berlumba dalam kekayaan dan anak keturunan, seperti hujan yang tanam-tanamannya mengagumkan para petani; kemudian (tanaman) itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur. Dan di akhirat (nanti) ada azab yang keras dan ampunan dari Allah serta keredhaan-Nya. Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang palsu.

(Al-Hadid 57:20)

Kemudian Allah menjelaskan lagi bahawa apa yang berlaku pada sepanjang hidup kita, sudah Allah ketahui sebelum ia berlaku lagi.

Setiap bencana yang menimpa di bumi dan yang menimpa dirimu sendiri, semuanya sudah tertulis dalam kitab (Lauh Mahfuz) sebelum Kami mewujudkannya. Sesungguhnya yang demikian itu mudah bagi Allah.

(Al-Hadid 57:22)

Allah memberikan ujian dan Allah juga menyediakan hadiah-Nya. Jelas sebenarnya kita berada dalam pertandingan merebut hadiah daripada Allah. Allah menawarkan syurga yang luar biasa besar kepada bakal pemenangnya. Hal ini dinyatakan melalui ayat berikut:

Berlumba-lumba kamu untuk mendapatkan ampunan daripada Tuhanmu dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan rasul-rasul-Nya. Itulah kurniaan Allah yang diberikan kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Dan Allah mempunyai kurnia yang besar.

(Al-Hadid 57:21)