Tuesday, January 14, 2014

Menjemput rezeki dengan zikir - ke 2

Bahagian 2: Bab 15 - info yang diambik bulat2 (tidak ada ubah walau sedikit faktanya) dari buku MUDAHNYA MENJEMPUT REZEKI tulisan dari Saudara Fathuri Salehuddin...info ini berada di muka surat 74-77 dengan niat ingin berkongsi ilmu sesama kita.

Diriwayatkan daripada Sayidina Abdullah Abbas katanya Rasulullah SAW bersabda:

Demi Zat yang diriku dalam genggaman-Nya, sekiranya dibawa langit dan bumi, sesiapa sahaja yang berada pada kedua-duanya dan apa-apa sahaja yang ada di antara kedua-duanya maka (kesemua itu) diletakkan disebelah neraca dan penyaksian terhadap 'Lailahaillallah' diletakkan di sebelah yang lain maka kalimah ini akan lebih berat.

(Riwayat Imam Tabarani)

Kehidupan manusia umumnya terbahagi kepada empat golongan:
  •  Senang di dunia dan senang di akhirat.
  • Susah di dunia dan senang di akhirat.
  • Senang di dunia dan susah di akhirat.
  • Susah di dunia dan susah di akhirat.
Mari kita perhatikan pula janji Allah di bawah:

Sesiapa berbuat kebaikan mendapat sepuluh kali ganda amalannya. Dan sesiapa berbuat kejahatan dibalas seimbang dengan kejahatannya. Mereka sedikit pun tidak dirugikan (dizalimi).

(Al-An'am 6:160)

Cuba bayangkan, betapa baiknya Allah. Jika diringkaskan, formulanya jadi begini:
  • Buat baik nisbahnya 1:10
  • Buat jahat nisbahnya 1:1
Seorang ulama yang terkenal, syeikhul hadis Maulana Muhammad Zakaria menjelaskan dengan menarik berkaitan keistimewaan zikir ini. Di dalam kitabnya, Fadilat Amal, beliau menulis:

Rasulullah SAW bersabda bahawa terdapat dua amalan yang jika seseorang Islam mengambil berat terhadap kedua-dua amalan tersebut nescaya dia akan memasuki syurga. Kedua-dua amalan tersebut adalah sangat ringan tetapi sangat sedikit orang yang beramal dengannya.

Pertama ialah membaca 'Subhanallah', 'Alhamdulillah' dan 'Allahuakbar' sebanyak 10 kali selepas setiap solat fardu, maka jumlah bagi lima waktu solat ialah 150. Oleh kerana ganjaran pahala amalan digandakan 10 kali ganda maka jumlah pahala yang tercatat dalam buku catatan amalan ialah 1,500 pahala.

Amalan yang kedua ialah membaca 'Subhanallah' 33 kali, 'Alhamdulillah' 33 kali, Allahuakbar' 34 kali sebelum tidur, maka jumlahnya menjadi 100 dan gajaran pahala yang akan diperolehi ialah 1,000.

Seorang sahabat bertanya kepada Rasulullah SAW:

"Wahai Rasulullah, mengapa sangat sedikit orang yang beramal dengan kedua-dua amalan tersebut sedangkan amalan itu sangat mudah?" 

Baginda bersabda:

"Ketika waktu hendak tidur, syaitan menidurkan seseorang itu sebelum dia sempat membaca kalimah-kalimah tersebut. Setelah mengerjakan solat maka syaitan memperingatkan kepadanya sesuatu yang menyebabkan dia bangun dan pergi sebelum sempat membaca tasbih tersebut."

Dalam satu hadis Baginda bersabda:

Adakah kamu tidak mampu untuk memperoleh 1,000 kebajikan setiap hari?" Seseorang bertanya kepada Baginda: "Wahai Rasulullah, bagaimana kami boleh memperoleh 1,000 kebajikan pada setiap hari?" Baginda menjawab: "Bacalah Subhanallah 100 kali nescaya kamu akan memperoleh 1,000 kebajikan.

(Riwayat Muslim)

1 comment:

zana fahmi said...

Begitu mudah mendapat pahala tapi kita selalu alpa kan? Terima kasih Ann kerana mengingatkan:)